Friday, February 2, 2007

Amalan pemulihan prestasi PC

Penggunaan jalur lebar (broadband) tidak semestinya mengubah gaya hidup seseorang. Tetapi, ia mungkin boleh mempengaruhi cara penggunaan internet dan aktiviti perkomputeran seharian. Disebabkan jalur lebar menyediakan capaian lebih pantas dan saluran pemindahan data lebih besar, pengguna mungkin lebih aktif menggunakan PC mereka. Contohnya, pengguna mungkin meningkatkan aktiviti seperti meluncuri internet, memindahkan fail (seperti fail perisian, MP3 dan video), mendengar/menonton siaran audio-video melalui internet, dan sebagainya. Tanpa disedari aktiviti seperti ini mungkin boleh menjejaskan prestasi PC mereka.

Prestasi PC boleh terjejas jika semakin banyak fail (terutamanya yang bersaiz besar) disimpan. Ini belum termasuk program yang dipasang tetapi tidak digunakan manakala mesej e-mel pula tidak dikendalikan atau diurus dengan baik. Jadi, aktiviti penyelenggaraan perlu dilakukan. Antaranya, menggunakan utiliti tertentu untuk membuang fail sementara, mendefrag cakera keras, mengemaskini anti-virus, memastikan Windows dikemaskini, dan menyimpan fail penting. Sesetengah orang mungkin keberatan melakukan tugas tersebut, kecuali sudah terpaksa. Contohnya, apabila prestasi PC terjejas kerana dijangkiti program yang merbahaya.

Saranan untuk diamalkan

Sejajar dengan perkomputeran aktif, anda sepatutnya boleh mengoptimakan prestasi PC secara berterusan. Apabila PC dioptimakan, anda mungkin mengalami beberapa perubahan yang memuaskan. Antaranya, PC beroperasi lebih pantas, proses boot lebih laju, lebih pantas apabila dimatikan, data dapat disimpan dengan lebih cepat, lebih selamat, mudah menjejaki fail, dan tugas anda tentunya lebih senang. Selain itu, masalah seperti ralat skrin biru mungkin sudah tidak berlaku, tiada lagi program yang sering kaku, bahkan aplikasi grafik juga boleh dibuka lebih laju. Jadi, artikel ini akan memberikan saranan terbaik untuk melakukannya.

* Buang fail tidak perlu – PC boleh dipenuhi fail imej, muzik, dan movie yang memakan banyak ruang, hingga beberapa gigabait (GB). Jika kapasiti cakera besar (80 GB atau lebih), mungkin tiada masalah kecuali ketika mencari fail di serata cakera – kerana fail terlalu banyak. Fail tidak perlu wajar dipadam jika muncul ralat seperti "low on disk space". Semak fail di dalam folder seperti My Documents, My Pictures, My Music, dan My Videos di serata cakera. Fail sementara juga perlu dipadam sekali sekala, samada secara manual atau dengan menggunakan utiliti Disk Cleanup atau utiliti pembersih yang lain.

* Buang program tidak perlu – amalan yang seterusnya ialah membuang program yang tidak digunakan dan fail yang berkaitan. Program yang tidak boleh digunakan seperti untuk peranti yang tidak dimiliki, tidak digunakan lagi atau sudah rosak juga boleh dibuang. Windows juga memasang secara automatik komponen yang barangkali tidak perlu, seperti MSN Explorer atau Games. Anda boleh memilih untuk menyingkirkan program tidak perlu seperti Windows Fax. Contohnya, jika anda menggunakan mesin faks berasingan, penggunaan aplikasi faks dalam XP mungkin tidak perlu. Aplikasi ini boleh dibuang.

* Uruskan fail dan folder – cara mudah untuk mengelola fail ialah mencipta folder peribadi dalam folder yang sedia ada seperti My Documents, My Pictures, My Music, dan My Videos. Anda boleh mencipta cabang folder di dalamnya dan memindah data ke dalamnya. Folder automatik ini boleh menjadi ruang storan yang sesuai dan boleh digunakan bagi mengelola pelbagai fail milik anda. Sebenarnya anda juga boleh memindahkan direktori seperti My Documents ke pemacu lain. Malah anda boleh menyediakan direktori fail mengikut cita rasa anda sendiri. Ini mungkin memudahkan anda menyimpan data kelak.

* Bersihkan Desktop dan menu Start – Dekstop, Taskbar, dan Start Menu juga boleh dibersihkan dengan mudah. Anda boleh menetapkan XP supaya memaparkan menu Taskbar dan Start mengikut cara yang dikehendaki pada bahagian Desktop. Anda juga boleh menentukan cara untuk berinteraksi dengannya apabila data diperlukan (tetapkan Folder Options). Mengikut cita rasa anda, OS juga boleh beroperasi lebih pantas dan melaksanakan tugasnya dengan lebih efisyen berbanding jika tidak diubah langsung. Letakkan apa yang perlu (contohnya pintasan), pastikan program mudah dibuka, dan fail senang dicari.

* Mengelolakan e-mel dan mesejnya – gunakan fungsi yang melengkapi aplikasi e-mel untuk mengelola mesejnya, ini termasuk mengurangkan spam dan menyimpan mesej. Spam boleh dielak jika tindakan anda terkawal dan mengambil langkah tertentu. Contohnya, menggunakan alamat e-mel alternatif bagi kegunaan tertentu, tidak membalas spam yang dikirim, dan memasang perisian anti-spam yang efektif. E-mel seperti Outlook dan Outlook Express memudahkan penciptaan folder untuk memindah mesej ke dalamnya. Jika perlu kosongkan folder Sent Items, dan Deleted Items, selain membuang fail sisipan.

* Bersihkan & laraskan Registry – kandungan Registry juga perlu diselenggara kerana aplikasi Windows kerap menyimpan data-data di dalamnya. Pastikan aplikasi yang berkaitan dimatikan dengan betul atau dikeluarkan sepenuhnya. Ada beberapa perkara yang anda boleh dilakukan terhadap Registry tersebut, seperti menyimpan dengan menggunakan ciri System Restore, membersihkannya, dan menggunakan pemeriksa Registry pihak ketiga. Perisian seperti Registry First Aid berupaya mengesan ralat di dalam Registry. Selepas amalan pembersihan dan pelarasan Registry, prestasi PC anda sepatutnya lebih baik.

* Optimakan pemacu keras – operasi seperti memadam dan memindahkan fail (dari satu “partition” ke “partition” lain), membuang program, dan mengosongkan Recycle Bin boleh menyebabkan kandungan cakera keras berterabur. Fail di dalamnya berselerak, tidak disusun atau komponennya tersimpan di merata tempat. Masalah ini boleh menjejaskan prestasi pemacu keras tetapi masih mampu dioptimakan menggunakan utiliti Disk Defragmenter dalam Windows atau perisian pihak ketiga yang sesuai. Selain itu anda boleh membersih folder Startup, dan mematikan aplikasi yang dijalankan semasa proses boot.

* Mengemaskini aplikasi – kesan positif seperti prestasi sistem melonjak, lebih selamat, dan keupayaan bertambah baik boleh dinikmati menerusi proses mengemaskini atau menaik taraf perisian. Selain itu, anda boleh mendapat ciri tambahan yang dinantikan atau prestasi sesuatu aplikasi menjadi lebih baik, jika menaikkan taraf komponennya. Anda juga boleh meningkatkan tahap keselamatan sistem dengan mengemaskini OS yang digunakan (contohnya XP) menerusi Windows Update. Proses mengemaskini boleh ditetapkan secara automatik dan biasanya dilakukan menerusi internet tanpa dikenakan bayaran.

* Menggunakan perisian khas – perisian seperti PowerToys boleh melaraskan pelbagai fungsi dalam XP, manakala utiliti TweakUI PowerToy menawarkan ciri-ciri yang tiada pada utiliti lain. Contohnya, anda boleh menentukan item yang disenarai pada Taskbar, mengkonfigurasi jenis ikon pada dekstop (My Documents atau My Computer), dan menentukan item di bahagian Frequently Used Programs pada Start Menu. Kini terdapat pelbagai utiliti yang direka khas untuk OS Windows samada utiliti komersial atau percuma yang boleh diambil terus daripada internet. Utiliti ini boleh diuji untuk melihat kesannya.

* Gunakan aplikasi keselamatan - perisian keselamatan seperti firewall dan antivirus perlu dipasang dan diaktifkan. Firewall contohnya menawarkan perlindungan dari penggodam dan memastikan PC lebih selamat. Anda patut mengkonfigurasi sistem untuk menangkis serangan dengan menjadikannya sukar untuk diceroboh atau ditembusi. Antara langkah yang boleh dilakukan ialah mengkonfigurasi Security Zones dalam Internet Explorer untuk perlindungan tambahan. Selain aplikasi keselamatan yang sedia melengkapi Windows, anda boleh menggunakan perisian pihak ketiga yang mungkin lebih berkesan.

* Membuat simpanan berterusan – kerosakan cakera boleh berlaku tanpa diduga dan boleh melenyapkan data penting. Jadi langkah menyimpan data secara berjadual mungkin perlu contohnya setiap minggu, setiap bulan, atau setiap tahun. Jika data yang dikendalikan penting (contohnya data perniagaan), maka simpanan setiap hari mungkin perlu. Anda boleh menggunakan utiliti Backup seperti yang terdapat di dalam XP atau utiliti pihak ketiga. Selain perisian, storan data yang sesuai perlu disediakan, contohnya pemacu keras, cakera optik (CD/DVD), dan USB flash. Anda perlu memilih storan yang paling sesuai.

* Memformat dan memasang semula – setelah melakukan beberapa langkah pengoptimaan, ada kalanya PC anda masih gagal beroperasi dengan baik atau tidak seperti yang diharapkan. Jadi, anda mungkin perlu memformat semula cakera keras kemudian memasang kembali OS dan program lain yang perlu. Langkah memformat cakera keras mungkin perlu jika PC anda telah dijangkiti program-program yang boleh menjejaskan prestasi seperti virus, cecacing, trojan, spyware dan adware. Sistem anda kembali ‘bersih' dan prestasinya mungkin seperti baru. Sebelum memformat, data penting perlu disimpan dulu.

rujukanhttp://www.karangkraf.com.my/E-Majalah/MajalahPC/artikel.asp?ID=21594

No comments: