Friday, February 2, 2007

Kenali 6 ciri popular papan induk

Litar papan induk menyediakan prasarana komunikasi untuk peranti utama seperti pemproses pusat (CPU), memori, slot tambahan, pemacu, dan lain-lain lagi. Litar terasnya turut menyumbang kepada prestasi sistem dan sering dirujuk sebagai cipset - selalunya, pembuat papan induk bukan pembuat cipset. Meskipun Intel mengeluarkan papan induk dengan cipsetnya sendiri, tetapi papan-papan induk berjenama seperti Gigabyte, Biostar, dan ASUS mendapat bekalan cipset daripada pelbagai jenama seperti VIA, Nvidia, SIS, atau Intel.

Apa pun, papan induk merupakan komponen utama sistem yang kompleks sifatnya. Ia dikeluarkan dalam pelbagai reka bentuk, soket, komponen, ciri, slot dan gaya. Malah, pemilihannya tidak boleh dibuat dengan sambil lewa, kerana faktor-faktor yang dinyatakan tadi mampu mempengaruhi prestasi dan peluang menaik taraf sistem di masa depan. Disebabkan terdapat banyak model di pasaran, maka anda berpeluang memilih pilihan yang sesuai dengan keperluan dan bajet. Jadi, disenaraikan di sini faktor-faktor yang perlu diteliti.
Reka bentuk Ada empat standard reka bentuk yang sering digunakan. Ini meliputi ATX: 12" x 9.6" (305mm x 244mm); Micro ATX: 9.6" x 9.6" (244mm x 244mm); FlexATX: 9.0" x 7.5" (229mm x 191mm); dan Mini ITX: 6.7" x 6.7" (170mm x 170mm). Setakat ini ATX dan mATX paling popular bagi PC desktop. Ia menawarkan lebih banyak ciri dan peluang menaik taraf, sekali gus menjadikan penggunaan papan induk ini lebih anjal. Contohnya, Mini-ATX mungkin hanya memiliki satu slot memori dan satu slot kad tambahan, sementara papan induk ATX biasanya menyediakan sehingga empat slot memori dan enam slot untuk kad tambahan.
Soket CPU AMD dan Intel terus bersaing untuk menawarkan CPU paling pantas dan berkuasa. Selalunya perubahan yang berlaku pada CPU menuntut perubahan dan sokongan daripada papan induk yang menempatkannya. Sebelum ini CPU AMD dan Intel pernah berkongsi soket yang sama, sebelum menentukan haluan masing-masing. Prestasi dan kelajuan kelajuan kedua-dua CPU itu terus dipertingkatkan meskipun reka bentuknya berbeza. Ini bermakna CPU AMD dan Intel perlu menggunakan papan induk yang boleh menyokongnya.CPU PC desktop AMD Athlon 64 contohnya menyokong Socket 939 dan Socket 754. Nombor pada nama soket ialah bilangan pin di belakang CPU. Jadi, Socket 939 Athlon 64 memiliki susunan tersendiri 939 pin kecil yang sepadan dengan soket papan induk. Chaintech VNF4 Ultra merupakan contoh papan induk yang menyediakan Socket 939 dan berasaskan kepada teknologi cipset Nvidia Nforce4 Ultra. Selain kedua-dua soket ini, banyak CPU AMD – ini termasuklah Athlon XP, Sempron, dan Duron – yang berkongsi Socket A. Ia juga dikenali sebagai Socket 462 yang mempunyai 462 pin untuk dihubungkan kepada papan induk.

Sementara itu, CPU semasa Intel Pentium 4 dan Celeron yang menyokong soket LGA 775, menggunakan pendekatan unik. CPU yang menyokong soket LGA 775 ini tidak memiliki pin, sebaliknya ia dipindahkan pada soket papan induk. Perubahan reka bentuk ini mungkin untuk mengelakan pin CPU daripada bengkok ketika dikendalikan. Tidak hairanlah jika ada penutup khas pada soket LGA 775 bagi melindungi pin yang ada padanya. Biostar P4M80-M7 adalah contoh papan induk LGA 775 dan dilengkapi cipset VIA P4M800. Bagaimanapun, masih banyak CPU Intel Pentium 4 dan Celeron di pasaran yang menyokong Socket 478.
Komponen Kebanyakan papan induk masih menyokong memori DDR biarpun DDR-2 kian popular. Selalunya papan induk hanya menyokong salah satu memori. Selain berbeza cara operasi, DDR memiliki 184 pin dan DDR-2 memiliki 240 pin. Jadi, ia tidak boleh ditukar ganti. Malah, pengguna perlu menentukan samada mereka ingin beralih kepada teknologi baru apabila memilih papan induk atau ingin terus menggunakan DDR sedia ada selama mungkin. Tanpa mengira teknologinya, kebanyakan papan induk datang dengan dua atau empat memori slot, meskipun telah dinyatakan tadi papan induk Mini-ATX mungkin hanya menawarkan satu slot.

Teknologi cakera keras juga telah berubah. Beberapa tahun lalu kebanyakan papan induk menyediakan dua sambungan ATA, yang boleh menyokong sehingga 4 pemacu. Apabila SATA semakin popular, sesetengah papan induk kini menawarkan campuran sambungan ATA dan SATA, sementara yang lain terus sahaja mengenepikan ATA, tetapi menawarkan pelbagai sambungan SATA yang hanya menyokong satu pemacu untuk setiap satu penyambungan. Selain jenis dan kuantiti, papan induk juga menawarkan keupayaan yang lain. Contohnya, menyepadukan pengawal RAID dalaman, seperti yang ada pada ASUS K8V SE Deluxe.

Kebanyakan papan induk dilengkapi penghubung kuasa yang biasa, ATX 20 pin. Namun, papan induk bagi CPU AMD Athlon 64 dan Pentium 4 memiliki sambungan kuasa kedua yang berhampiran soket. Ini untuk membekalkan kuasa tambahan yang diperlukan oleh CPU peringkat tinggi. Penghubung khas 4 pin ini tiada pada papan induk AMD Socket A, tetapi kebanyakannya ada pada papan induk AMD Socket 939. Sejak beberapa tahun lalu, unit bekalan kuasa turut menyertakan sambungan khas ini. Jadi, bagi pengguna yang menaik taraf sistem lama dengan papan induk baru, unit bekalan kuasa mungkin perlu dinaik taraf juga.
Ciri tambahan Banyak juga papan induk yang menyertakan ciri-ciri dalaman. Pada sesetengah papan induk, ciri berkenaan hanya boleh dimiliki apabila kad tambahan dibeli secara berasingan. Papan induk biasa kini menyertakan keupayaan bunyi stereo, sambungan 10/100 LAN, dan beberapa port USB 2.0 (terdapat di belakang atau depan casis). Ini tertakluk kepada bajet dan keperluan pengguna, kerana banyak papan induk menyertakan fungsi lain yang menarik seperti port Firewire bersepadu, sambungan VGA, dan pengawal dalaman RAID.

Sekiranya anda perlukan sebuah sistem yang asas dan ringkas, selain ingin mengelak kesukaran memasang dan menambah peranti tambahan, maka papan induk bersepadu dengan komponen yang diingini mungkin lebih sesuai. Jadi, ini terpulang kepada pengguna. Sebaliknya, jika inginkan bunyi stereo dengan 8 saluran, sedangkan kebanyakan papan induk jenis bersepadu sekadar menawarkan 5 saluran. Jadi dalam kes seperti ini, papan induk dengan menyertakan slot tambahan untuk menambah kad bunyi pilihan anda boleh dipilih.
Slot tambahan Biasanya papan induk menyediakan satu slot untuk memasang kad grafik dan beberapa slot untuk kad-kad tambahan, seperti kad bunyi atau modem. Kad-kad grafik yang menyokong slot PCI dan AGP sudah lama digunakan, kini muncul pula kad grafik PCI Express. Jadi papan induk yang digunakan perlu serasi dengan peranti yang bakal ditambah. Kebanyakan papan induk yang dikeluarkan beberapa tahun lalu menyertakan slot AGP, dan model-model papan induk terkini mula dilengkapi dengan slot PCI Express untuk kad grafik.

Slot PCI ada pada kebanyakan papan induk, tetapi ia lebih perlahan berbanding slot AGP dan PCI Express, malah bukan pilihan terbaik untuk grafik. Papan induk ATX selalunya ada 4 atau 5 slot PCI. Meskipun ia boleh digunakan untuk kad grafik paparan/monitor kedua, namun ia lebih sesuai untuk peranti lain seperti kad bunyi, kad rangkaian, pengawal RAID, TV tuner, modem, dan pengawal USB/Firewire. Sekiranya item tersebut sudah disertakan pada papan induk, maka pemilikan beberapa slot PCI tidak lagi dianggap penting.
Gaya tersendiri Banyak papan induk menggunakan warna-warna menarik pada slot tambahan (PCI dan AGP), slot memori, penghubung pemacu, dan sebagainya. Papan induk model Chaintech MK8M800 dan Biostar K8VGA-M-N ada persamaan kerana ia dilengkapi cipset VIA K8M800 dan harganya berpatutan. Warna keemasan, hitam dan putih pada papan induk Chaintech barangkali boleh menarik minat sesetengah pengguna. Begitu juga dengan warna merah, putih, dan kuning pada papan induk Biostar, yang akan menampilkan gaya tersendiri.

Biasanya, model tertentu tampil dengan satu skema warna sahaja, dan banyak pembuat menggunakan tema sama pada produk mereka. Selain warna, ada pembuat turut menyertakan ciri pencahayaan LED pada kipas pendingin cipset, atau menambah aksesori papan induk dengan kabel yang sepadan untuk menjadikan rupa papan induk kelihatan unik. Sesetengah pengguna mungkin tidak mengutamakan warna sebagai ciri utama papan induk yang ingin dipilih. Tidak mustahil ada pembeli yang lebih mengutamakan warna dan gayanya.

rujukanhttp://www.karangkraf.com.my/E-Majalah/MajalahPC/artikel.asp?ID=18973

No comments: