Tuesday, February 6, 2007

Selamat datang Windows Vista

Oleh: MOHD. RIDZWAN MD. IMAN

TIDAK ramai pengguna komputer yang mengetahui mengenainya. Bagaimanapun bagi yang benar-benar mengenali dunia komputer, Windows Vista adalah suatu yang telah lama ditunggu-tunggu.

Bagi pengguna biasa, komputer yang mereka gunakan masa kini dengan menggunakan sistem operasi (OS) Windows seperti Windows 95, 98, ME dan XP telah mencukupi untuk melakukan pelbagai kerja, hiburan atau melayari Internet.

Bagaimanapun, sebagai pengeluar OS komputer utama dunia, Microsoft Corporation tidak pernah menganggap demikian.

Begitu juga bagi ‘kaki’ komputer kerana bagi mereka masih banyak ruang yang boleh diperbaiki dalam OS komputer sedia ada.

Sehubungan itu, Microsoft telah menamatkan penantian selama lima tahun peminat komputer dengan sistem operasi terbarunya, Windows Vista.

Seperti juga ketika pelancaran perisian-perisian terbarunya sebelum ini, Microsoft turut menjanjikan satu kelainan dan kepuasan baru untuk pengguna komputer melalui Windows Vista.

Perisian OS terbaru ini didatangkan dengan ciri-ciri yang lebih bergaya dan dijanjikan dengan pelbagai aplikasi pencarian yang lebih baik dan dilindungi dengan perisian keselamatan lebih utuh.

Walaupun beberapa reviu awal oleh pengguna komputer menyatakan beberapa kelemahan tetapi ramai yang mengakui perisian ini merupakan Windows yang paling selamat pernah dibangunkan Microsoft untuk pengguna.

Ketika pelancarannya di New York, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer menyatakan keyakinannya Vista akan menjadi pusat kepada sistem hiburan berangkaian generasi baru di rumah.

Vista yang didatangkan sekali bersama perisian e-mel Microsoft Exchange dan suit perniagaan Office (Word, Excel dan PowerPoint) terbaru mula diperkenalkan ke 70 negara di seluruh dunia.

Kegilaan peminat komputer mengenai perisian terbaru Microsoft itu terserlah dan dapat dilihat apabila di Tokyo, kira-kira 80 orang sanggup beratur di hadapan sebuah kedai menjual komputer untuk menjadi antara orang pertama di dunia memiliki Vista.

Di London, salah sebuah syarikat penjual komputer peribadi (PC) terkenal dunia telah menggunakan watak Sherlock Homes pada pelancaran Vista yang melambangkan ciri-ciri keselamatan dan menggunakan artis bagi melambangkan multimedia.

Bagaimanapun, tahap penerimaan pengguna komputer terhadap OS terbaru Microsoft ini tidaklah sama kegilaannya dengan sambutan terhadap pelancaran permainan baru seperti PlayStation 3 atau Xbox 360.

‘‘Apabila saya melihat Windows Vista, saya melihat teknologi yang menarik dan relevan, tetapi sebenarnya ia bukan suatu yang benar-benar baru tetapi hanya peningkatan kepada produk sedia ada,’’ kata salah seorang penganalisis teknologi di IDC, Al Gillen.

Menurut Pengerusi Microsoft, Bill Gates, syarikatnya bukan hanya ingin menjual produk sekali sahaja tetapi akan menggunakan apa saja memasarkannya termasuk mengadakan jualan melalui Internet untuk kali pertama.

Walaupun strategi itu mungkin tidak akan memberi kesan besar kerana kebanyakan komputer hanya akan menukar OS komputer mereka apabila mereka menukar komputer baru.

Microsoft mendakwa Vista akan memberikan perubahan ketara kepada platform pengkomputeran yang akan menyebabkan pengguna kagum sebaik sahaja melihatnya.

Gates memberi beberapa contoh, antaranya bagaimana Vista akan menggunakan antara muka tiga dimensi (3D) dengan ikon-ikon yang begitu jelas.

Selain itu, pengguna juga akan berasa kagum dengan kemampuan komputer mereka untuk mencari maklumat melalui program pencarian yang diletakkan pada Windows atau aplikasi Office.

Dengan hanya berada di Menu Start, pengguna telah boleh mencari dokumen, e-mel, gambar, fail muzik menggunakan aplikasi Instant Search, sama ada maklumat berada dalam komputer atau Internet.

Bagi Gates, sistem operasi komputer telah menjadi lebih penting masa kini apabila PC telah berubah daripada hanya menjadi alat menaip surat kepada pusat hiburan berangkaian, perpustakaan media peribadi dan laluan ke Internet.

Sebagai contoh, segala maklumat mengenai cuaca dan maklumat terkini di Internet boleh didapati dengan mudah, begitu juga dengan proses memindah gambar- gambar dalam kamera digital ke komputer.

Sebenarnya banyak lagi ciri-ciri yang ditawarkan melalui Vista dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh di laman web Microsoft (www.microsoft. com).

Perisian ini dijual dengan harga antara AS$100 (RM370) hingga AS$400 (RM1,480) di pasaran seluruh dunia, termasuk Malaysia.


rujukan:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

2 comments:

Azman Md Safiee said...

ok.menarik

Standard Solutions said...

I admire the valuable info inside your articles. I'll bookmark your website and examine up the following typically. I am really confident I will understand a lot of new stuff below than anybody else! SEO Expert in Islamabad