Wednesday, February 14, 2007

IPV6 protokol Internet generasi baru

Oleh: WAN NAJIB WAN DAUD

MENURUT satu kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar teknologi tempatan, industri komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) negara bakal berdepan kesukaran menjelang beberapa tahun lagi apabila alamat Protokol Internet versi keempat (IPv4) akan habis digunakan.

Sebab utama kepada masalah itu ialah lonjakan ketara jumlah pelanggan dan laman web di seluruh dunia telah mula menggusarkan para pembangun teknologi Internet kerana hanya terdapat empat bilion alamat Protokol Internet (IP) sahaja yang boleh digunakan.

Dengan keupayaan hanya 32 bit bagi alamat IPv4 yang digunakan sekarang, dijangkakan ruang alamat yang boleh digunakan akan habis antara tahun 2007 hingga 2010.

Secara umumnya, IP dikenali sebagai protokol tanpa sambungan yang membolehkan data dihantar dari satu komputer kepada yang lain dalam satu rangkaian tertentu tanpa sambungan berterusan antara kedua-dua alat komunikasi tersebut.

Bagi menyelesaikan masalah kekurangan alamat IP itu, satu alternatif telah dicari dan akhirnya penemuan teknologi baru yang dipanggil Internet Protocol Versi keenam (IPv6) dikatakan akan menggantikan IPv4 pada masa depan.

Apakah sebenarnya kepentingan IPv6 di dalam industri ICT tempatan yang kini boleh dikatakan amat membimbangkan jika tidak bertukar dari versi lama iaitu IPv4, IP komersial pertama yang kini berusia hampir dua puluh tahun.

IPv6 merupakan peringkat terkini bagi IP dan ia dimasukkan sebagai menyokong kebanyakan produk termasuklah sistem operasi komputer utama.

Ia juga dikenali sebagai IPng (IP generasi baru) yang direka bentuk oleh Pasukan Petugas Kejuruteraan Internet (Internet Engineering Task Force - IETF).

Selain itu, IPv6 mempunyai peruntukan yang membolehkan konfigurasi secara automatik lebih mudah dilakukan dan pernomboran semula alamat IP dalam rangkaian dan sub-rangkaian apabila diperlukan tanpa perlunya konfigurasi insani ataupun DHCP.

IPv6 memperbaiki kebolehan multicast routing berbilang lemparan dengan menambahkan bidang ‘skop’ kepada alamat multicast dan juga berperanan membawa banyak kemajuan berbanding IPv4 dalam routing dan konfigurasi rangkaian secara automatik.

Apabila difikirkan secara logik, jika IPv6 tidak penting kepada negara, masakan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) telah menubuhkan sebuah agensi memantau dan mencari penyelesaian bagi meningkatkan keupayaan IP di negara ini, sekali gus tidak membantutkan usaha kerajaan di dalam industri ICT.

Ekoran itu, Ketua Setiausaha KTAK, Datuk Dr. Halim Shafie telah mengarahkan agar ditubuhkan sebuah Majlis IPv6 Kebangsaan yang diletakkan terus di bawah kementerian bagi menyediakan visi dan misi serta pelan strategik pelaksanaan IPv6 negara.

Melalui penubuhan pusat tersebut pada 1 Mac tahun lalu, KTAK telah melibatkan diri dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) terkini, melatih pakar-pakar IPv6 dan merancang program terkini bagi menyediakan negara ke arah bersedia untuk menggunakan IPv6 menjelang tahun 2010.

Tanggungjawab untuk memantau peranan IPv6 juga turut dipikul oleh Pusat IPv6 Termaju Negara yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Prof. Bersekutu Dr. Sureswaran Ramadas.

Beliau yang dilantik sebagai pengarah pusat itu juga berperanan sebagai Ketua Kumpulan Penyelidik Rangkaian USM dan juga Pengarah NAV6 untuk melihat masalah kekurangan IP telah lama berlaku sejak pengenalan internet hampir tiga dekad lalu.

Di Malaysia, masalah mula berlaku sejak negara mula memperkenalkan Internet, namun itu tidak bermakna Malaysia akan ketinggalan di dalam teknologi IPv6 kerana teknologi itu baru sahaja bermula.

“Dengan adanya rangkaian IPv6 ini, ia akan menempatkan Malaysia di dalam kedudukan kukuh dan paling stabil di dalam dunia teknologi baru,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, ketika Internet dibawa ke Malaysia pada tahun 1986, teknologi Internet tempatan telah ketinggalan 10 tahun ke belakang berbanding negara maju tetapi dengan pengenalan IPv6 Malaysia hanya ketinggalan antara enam hingga 12 bulan.

Dengan arahan terbaru dari kerajaan yang mahukan kesemua IPv6 boleh digunakan sekurang-kurang menjelang penghujung tahun ini, tahun 2008 bagi e-kerajaan dan menjelang tahun 2010 bagi kesemua rangkaian Internet di seluruh negara.

Ekoran arahan itu, NAv6 telah menyediakan pelan komprehensif di dalam membantu kerajaan untuk melengkapkan sasaran tersebut dengan mengendalikan beberapa kursus latihan dan seminar kepada orang ramai, sektor korporat serta pelbagai usaha bersepadu perlu dijalankan antara syarikat telekomunikasi, agensi penyelidikan, universiti dan juga pembangun-pembangun aplikasi.

Penggunaan IPv6 dengan 124-bit juga akan meningkatkan aspek keselamatan rangkaian terutama bagi agensi kerajaan dan jabatan pertahanan yang memerlukan sistem yang selamat serta mampu mengendalikan rangkaian yang kompleks.

Ramadas berkata, di negara-negara seperti Asia yang mempunyai peruntukan kecil, Alamat Terjemahan Perangkaian (Network Translation Addresses) digunakan untuk menampung kesesakan Internet dengan menggunakan pelbagai alamat IP persendirian di sebalik alamat IP umum.

Pengurangan sebegini merupakan punca utama di sebalik perlunya Protokol Internet versi keenam (IPv6).

Keperluan ini juga didorongi oleh permintaan terhadap alatan tanpa wayar yang memerlukan alamat IPnya tersendiri untuk mewujudkan sambungan Internet.

Ledakan penggunaan alatan tanpa wayar pegangan tangan dibuktikan oleh anggaran jualannya, yang dijangka akan meningkat daripada 430 juta dalam tahun 2002 kepada 760 juta dalam tahun 2006 dan pengguna Internet bergerak dijangka melebihi 1.2 bilion sebelum penghujung dekad ini.

Beliau memberitahu, IPv6 sebenarnya memberikan banyak kemudahan kepada pengguna berbanding apa yang disediakan oleh IPv4 sebelum ini kerana ia mengembangkan ruang alamat daripada lebih kurang empat bilion alamat kepada jumlah yang terlalu banyak iaitu lebih daripada 340 trilion trilion trilion alamat (340 x 1036).

Selain itu katanya, kelebihan yang ada pada IPv6 dijangka dapat membantu pertumbuhan talian generasi ketiga (3G) dan peningkatan penggunaan jalur lebar di Malaysia.

Ramadas memberitahu, sektor awam dan korporat di Eropah juga banyak melabur dalam teknologi IPv6 dan di rantau ini Jepun telah mendahului penggunaan IPv6 dan telah mula menggunakan IPv6 dalam rangkaian langsung seperti Papan Ujian IPv6 Perubatan Negara Jepun, Rangkaian IPv6 Pesta Salji Sapporo untuk penyiaran video jauh, dan rangkaian jalur lebar metro IPv6 Bandaraya Kurashiki.


rujukan:http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_01.htm

No comments: